Sabtu, Ogos 13, 2011

Hari Ini 20 Tahun Yang Lalu...

"……..Allahuakbar! Astaghfirullah…… ". Aku meraup muka yang basah dengan peluh…

"Ha! Mengigaulah tu!???" Dengus Yati, rakan sebilikku…

"Aku dah kata, jangan tidur waktu senja, nanti mengigau… kau degil!" leternya sambil bersiap untuk ke surau….

"Kau nak pergi tak ni? Kalau nak pergi sama, lekas bersiap!" Marahnya lagi. Aku lantas bersiap untuk ke surau…

"Eh!? Aku dah mandi, kan???"

"Ya Allah! Budak ni, belum jaga lagi ke? Sudah lah, kau dah mandi tadi… Lekas, dah nak azan ni."

Aku masih terbayang-bayang mimpi tadi, meremang bulu romaku… Apa alamatnya ni? Waktu prep berlalu begitu pantas.

"Weeeeee….." bunyi siren menandakan waktu prep telah tamat. Aku dan rakan-rakanku bergegas untuk pulang ke asrama dan minum malam… Fikiranku masih dihantui mimpi tadi… Aku berlari-lari mendapatkan Salinaz, adik angkatku untuk menceritakan tentang mimpi tadi…

"Akak penat sangat agaknya tadi, itulah sebabnya mimpi yang bukan-bukan" komen Salinaz.

Salinaz, anak kelahiran Kedah, satu-satunya orang yang begitu memahamiku, tempat aku curahkan semua masalahku. Tetapi aku tidak dapat mencari jawapannya. Mimpiku kali ini lain sekali rasanya… Malam itu aku bermimpi lagi…

"Za! Za! Kenapa kau ni? Mengigau lagi? Dah! Bangun, dah subuh…" Yati mengejutku pagi itu. Aku bergegas ke bilik air…

Jam menunjukkan 7.30 pagi, senaman pagi berjalan seperti biasa, diketuai oleh Nafisah, rakan sebilikku yang seorang lagi. Nafisah, exco Badan Wakil Pelajar, orang penting maktab. Namun hatiku masih bergolak. Pagi itu aku rasakan lain daripada pagi yang pernah aku lalui.

"Awat hang ni? Lain macam saja pagi ni?" Che Na menegurku pagi itu di kelas.

"Entahlah, aku rasa tak sedap hatilah." Rakan-rakan lain memandangku, menunggu jawapan.

"Jangan dilayan sangat perasaan kau tu, …. Homework dah siap?" sampuk Marina, Penolong Ketua Seksyen kami yang dedikasi.

"Sudah…"

Waktu pembelajaran berlalu begitu hambar…. Kira-kira jam 11.00 pagi, ketika itu Cikgu Aris sedang mengajar Bahasa Melayu, fikiranku masih dihanyutkan oleh mimpiku semalam… Tiba-tiba pintu kelasku diketuk, muncul Cik Zuria, Kaunselor maktab.

"Cikgu, boleh saya jumpa sekejap?".

Tidak lama kemudian, Cikgu Aris menghampiriku.

"Norza, Kaunselor nak jumpa."

Kaunselor nak jumpa aku??? Apa aku dah buat??? Aku bukan bermasalah, tidak pula mencetuskan masalah di maktab… pelbagai persoalan bermain di benakku..

"Norza, your uncle is here, he will take you home.."

Cik Zulia tidak dapat meneruskan kata-katanya… Nak bawa aku balik? Kenapa?

"Would you come with me?..." Sambungnya lagi.

Aku melangkah longlai bersamanya ke bilik kaunseling. Di sana bapa saudaraku sudah sedia menunggu...

"Pak Idon, kenapa ni?" aku bertanya, kebingungan.

"Kita kena balik, ada kemalangan di rumah... Cepat bersiap". bapa saudaraku menjelaskan.

Berderau darahku mendengar berita itu. Siapa yang kemalangan? Bagaimana keadaannya? Namun, aku tidak mampu mengeluarkan kata-kata, hanya mengikut sahaja arahan bapa saudaraku.

"Terima kasih, cikgu". Bapa saudaraku memohon diri.

Bapa saudaraku merupakan seorang pegawai polis yang bertugas di Jitra, Kedah. Perjalanan pulang malam itu kurasakan tidak berpenghujung.

"Dah sampai…"

Bapa saudaraku mematikan enjin keretanya. Aku membuka mata... Ini Hospital Kuala Lumpur, bukan rumahku di kampung.

"Kita nak tengok siapa ni?" tanyaku.

"Adik…"

"Adik???" tanyaku lagi, keliru.

Aku mengekori bapa saudaraku memasuki bangunan hospital dan terus ke ICU. Di sana kulihat ibu dan bapaku. Air mataku tidak dapat dibendung lagi. Tiada kata-kata mampu untukku luahkan apabila melihat adikku terbaring tidak berdaya, dengan wayar menyeliputi tubuhnya. Kulihat kulitnya habis terkoyak daripada pinggang ke atas. Ada cebisan kulit berkumpul di hujung jarinya. Lututku menggigil, aku rasa seperti hendak pitam.

"Ajah kemalangan semalam. Terkena api. Doktor kata peluangnnya 50-50."

Ibuku cuba menjelaskan padaku dengan genangan air mata. Ayah sudah tidak berdaya berkata-kata.

"Ajah tidak putus-putus memanggil kakak sepanjang perjalanan kemari. Sebab itu mak suruh Pak Idon panggil kakak balik" jelas ibuku.

Malam itu aku tidur di kaki lima hospital. Aku dihantui mimpi itu lagi…

"Kakak! Kakak! Ajah dah sedar…" ibuku memanggilku. Aku melihat jam, 5.30 pagi…

Aku mengekori ibuku masuk ke ICU, kulihat ramai jururawat di sekeliling katil Ajah. Aku menghampirinya.

"Ajah, kakak ni." sapaku pada Ajah.

"Kakak, terbakar… Ajah terbakar, sakit!" katanya terketar-ketar…

"Sabar Ajah, Kakak ada di sini. Ajah sabar ya! Doa banyak-banyak…" kataku menyabarkan Ajah…

Esoknya Ajah di pindahkan ke wad biasa, aku pula terpaksa pulang ke asrama. Sebelum berangkat, aku menziarahi Ajah lagi.

"Ajah, kakak dah nak balik asrama. Ajah kuatkan semangat ya, biar cepat sembuh…" Ku harap, kata-kataku itu dapat memberi semangat pada Ajah…

"Kak, buatkan air Milo…" kata Ajah dengan linangan air mata.

Aku membancuh air Milo dan menyuapkannya ke mulut Ajah menggunakan straw. Air mataku mengalir dengan derasnya…

Seminggu berlalu, aku menerima surat dari ibuku.

"Ajah dah boleh gerakkan tangan, dah boleh bernafas sendiri tanpa topeng oksigen, dah boleh makan" cerita ibuku di dalam suratnya.

Aku hampir melompat kegembiraan.

Pulang dari game petang itu, aku dihampiri Cik Rohana, warden asrama.

"Norza, ada orang nak jumpa di dewan makan." katanya.

"Siapa pula kali ini???" bisik hatiku.

Sekarang waktu makan malam. Aku memang hendak ke dewan makan bersama Yati, Noor dan Nafisah, rakan-rakan sebilikku.

Dari jauh kulihat Pak Idon, bapa saudaraku sedang menunggu bersama keluarganya.

"Eh! Mimpi apa petang-petang datang ni?" tanyaku.

"Kita balik sekarang… Cepat bersiap." katanya ringkas sekali.

Ketika itu dapat kurasakan darahku kering, mukaku kebas. Hatiku berdebar… Ajah???
Sekali lagi aku melalui perjalanan yang panjang…

Jam menunjukkan 7.30 pagi, aku melihat sekeliling. Pekan Simpang Lima. Dari jauh dapat kulihat ramai saudara maraku keluar dari rumah masing-masing dengan pakaian putih. Air mataku mula bergenang. Namun aku sudah bersedia walau apapun yang berlaku.

Perlahan-lahan kereta bapa saudaraku membelok ke rumah, kulihat telah ramai orang berkumpul. Ada juga yang datang dengan memikul papan. Kulihat ayah bangun dan menuruni tangga seperti tidak sabar menyambut kepulanganku. Apabila aku turun dari kereta, ayah tidak dapat menahan sebak lalu menangis terisak-isak.

"Kakak, Ajah… dah tak ada."

Ayah rebah.

Aku memapah ayah ke dalam. Di dalam rumah, ibuku sudah terjelepuk di lantai. Aku mendapatkan ibu.

"Mak..." semua orang menangis melihat keadaanku.

"Sabar kakak, tak baik menangis begitu"

Aku gagahkan diri, melangkah ke dalam bilik. Semua adik-adikku ada di situ. Di atas katil, terbujur jenazah arwah Ajah, kaku...

Ajah telah tiada, adikku telah pergi…. Menemui Ilahi…. Pergi ketika aku bergelut menghadapi SPM…

Semoga Allah cucuri rahmat dan kasih sayang-Nya untuk...
Arwah NAZRAH BINTI MOHD. SALEH
24 Ogos 1986



Nukilan,

NZ
MRSM Perlis, 1985/86


Nota kaki: Terbitan semula dari blog family anaksaleh. Kisah benar tentang arwah adik kami yang tercinta ini ditulis oleh Cikgu Norza yang boleh dihubungi melalui blog Cikgu Norza.

Tahun 2011 merupakan tahun ke-25 salah seorang adik/kakak kami pergi menemui Rabbul Jalil.

0 komen/ngomelan:

 

Minda Tajdid

Saifulislam.Com

Disclaimer



Blog ini masih lagi didalam pengubahsuaian. Harap maklum. Kandungan blog ini tidak bertujuan untuk menyinggung perasaan sesiapa. Hanya berbentuk cetusan rasa dan secebis pengalaman yang dirasakan boleh diabadikan untuk kenangan penulis sahaja.

HAMDOLOK Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template